Bab ini menghuraikan matlamat enam kriteria penilaian dan menyelami peranannya dalam penilaian. Ia menerangkan bagaimana kriteria dilihat sebagai satu set lensa yang saling melengkapi dan cara setiap kriteria memberikan perspektif berlainan terhadap intervensi dan hasilnya. Bab ini juga mempertimbangkan jenis intervensi yang boleh dinilai dengan menggunakan kriteria penilaian sebagai asas untuk mentafsir nilai atau merit intervensi. Bahagian akhir bab ini menyelami bagaimana kriteria dikaitkan kepada norma dan standard penilaian yang lain.
Mengaplikasi Kriteria Penilaian Secara Bernas
2. Enam kriteria penilaian: Matlamat dan peranan dalam penilaian
Copy link to 2. Enam kriteria penilaian: Matlamat dan peranan dalam penilaianAbstrak
Apakah itu kriteria?
Copy link to Apakah itu kriteria?Kriteria ialah standard atau prinsip yang digunakan dalam penilaian sebagai asas pentafsiran penilaian (evaluative judgement).
Setiap enam kriteria diringkaskan dengan menggunakan satu soalan yang menggambarkan maksud keseluruhannya. Setiap satu soalan mewakili satu elemen penting untuk dipertimbangkan:
Kesesuaian: Adakah intervensi 1 melakukan apa yang sepatutnya?
Kesepaduan: Apakah tahap kesepadanan intervensi?
Keberkesanan: Adakah intervensi mencapai objektif yang dirancang?
Kecekapan: Apakah tahap kecekapan penggunaan sumber?
Impak: Apakah kesan meluas akibat intervensi?
Kemampanan: Adakah manfaat akan berterusan?
Matlamat kriteria penilaian adalah untuk menyokong penilaian berkualiti tinggi yang konsisten dalam suatu kerangka lazim. Kriteria ini menyediakan kerangka normatif untuk menilai intervensi tertentu. Kriteria ini juga boleh digunakan dalam proses di luar penilaian, termasuk mendefinisi kerangka serta indikator bagi pemantauan dan pengurusan hasil, kelulusan dana, perancangan strategik dan reka bentuk intervensi, terutamanya untuk menambah baik intervensi pada masa depan. Secara kolektif, adalah bernilai jika terdapat definisi kriteria lazim yang boleh digunakan merentas intervensi. Kriteria ini juga menyediakan satu bahasa konsisten merentas bidang pembangunan, memberikan penyeragaman dan membolehkan perbandingan serta pembelajaran merentas intervensi.
Kriteria ini harus dilihat sebagai satu set lensa yang mana pengguna boleh memahami dan menganalisis sesuatu intervensi. Kriteria ini menyediakan perspektif saling melengkapi yang memberi gambaran menyeluruh tentang intervensi tersebut. Kriteria ini mendorong pemikiran mendalam tentang ciri-ciri sesuatu intervensi, pelaksanaannya, proses serta hasilnya. Keenam-enam kriteria apabila dilihat bersama menghuraikan ciri-ciri intervensi, mengutarakan andaian dengan eksplisit dan menyediakan norma bahawa intervensi haruslah sesuai dengan konteks, sepadan dengan intervensi lain, mencapai hasil dalam cara yang cekap dan mempunyai kesan positif yang berterusan untuk pembangunan mampan. Kriteria penilaian ini juga menyediakan satu kerangka yang diterima ramai dalam pembangunan pendekatan penilaian, pendekatan komprehensif dan sistematik serta bahasa lazim yang digunakan dari permulaan proses penilaian.
Kriteria ini adalah saling berkait dan dilihat sebagai satu set yang saling melengkapi, dengan setiap kriteria membawa perspektif berlainan dan unik kepada pemahaman sesuatu intervensi. Definisi setiap kriteria menyampaikan satu konsep tersendiri (diungkapkan dalam soalan untuk setiap satu kriteria) namun keenam-enam konsep ini saling berkait. Intervensi pembangunan lazimnya bersifat multifaceted (pelbagai aspek) maka penggunaan kriteria ini membolehkan penilai mempertimbangkan intervensi secara menyeluruh.
Kriteria penilaian ini bukanlah metodologi dan bukan matlamat yang cuba dicapai sesuatu intervensi. Sebaliknya kriteria ini menyediakan dorongan untuk mengemukakan soalan yang betul semasa penilaian sesuatu intervensi. Setiap intervensi, objek penilaian atau ''evaluand2’’ adalah berbeza, maka proses penilaian haruslah fleksibel dan penggunaan kriteria penilaian haruslah bernas serta disesuaikan kepada matlamat dan pengguna penilaian. Selaras standard kualiti penilaian, rumusan dan cadangan penambahbaikan tentang kemajuan serta prestasi haruslah berdasarkan bukti bersesuaian yang boleh dipercayai. Logik, kredibiliti dan tafsiran bahan bukti haruslah jelas dan mengikut theory of change atau logik intervensi.
Apakah jenis intervensi yang boleh dinilai dengan menggunakan kriteria ini?
Copy link to Apakah jenis intervensi yang boleh dinilai dengan menggunakan kriteria ini?Istilah “intervensi” yang digunakan dalam panduan ini membawa maksud topik atau objek penilaian. Istilah ini merangkumi semua jenis usaha yang boleh dinilai dengan menggunakan kriteria ini. Usaha tersebut boleh bersifat antarabangsa atau domestik, dan bertujuan untuk menyokong pembangunan mampan atau matlamat bantuan kemanusiaan.
Intervensi boleh merujuk kepada projek, program, polisi, strategi, bidang tematik, bantuan teknikal, nasihat polisi, institusi, mekanisme pembiayaan, instrumen atau aktiviti lain. Ia merangkumi intervensi pembangunan, bantuan kemanusiaan, sokongan pembangunan keamanan, kerja normatif dan aktiviti kerjasama antarabangsa yang lain, serta aktiviti sektor swasta dan kerajaan nasional dalam konteks polisi domestik. Sebagai contoh, kriteria ini telah digunakan untuk menilai pelbagai topik daripada kecekapan program makanan sekolah nasional hingga kesepaduan sokongan antarabangsa yang disediakan pelbagai pelaksana dalam rantau yang terkesan konflik. Kriteria ini juga digunakan untuk menilai polisi dan strategi (cth lihat Kotak 2.1). Penilaian juga menggunakan kriteria ini apabila menilai satu siri intervensi, contohnya suatu penilaian pelbagai projek yang menyokong sektor pendidikan atau satu intervensi besar yang dilaksanakan selama beberapa tahun dan melibatkan beberapa rakan pelaksana (cth sokongan belanjawan am).
Istilah “intervensi” digunakan dalam dokumen ini kerana istilah ini paling senang difahami, namun para penilai harus mendefinisikan topik penilaian secara jelas, iaitu intervensi yang sedang dianalisis, serta skop penilaian pada permulaan proses penilaian. Penggunaan perkataan yang lebih spesifik yang berkaitan dengan intervensi tersebut, seperti projek atau polisi, adalah lebih berguna dan lebih mudah difahami oleh rakan pelaksana.
Kotak 2.1. Adaptasi kriteria kepada intervensi: Penilaian BMZ “Action Plan for the Inclusion of Persons with Disabilities”
Copy link to Kotak 2.1. Adaptasi kriteria kepada intervensi: Penilaian BMZ “Action Plan for the Inclusion of Persons with Disabilities”Penilaian German Federal Ministry for Economic Co-operation and Development’s (BMZ) Action Plan for Inclusion of Persons with Disabilities menyediakan contoh menarik bagaimana kriteria ini boleh diubah suai untuk mencerminkan intervensi yang dinilai (dalam kes ini satu pelan tindakan strategik) dan bagaimana kriteria ini dikaitkan dengan soalan penilaian. Penilaian ini telah direka bentuk untuk meneliti tahap kejayaan Pelan Tindakan tersebut dalam memperluaskan pengarusperdanaan (mainstreaming) keterangkuman secara sistematik dalam kerjasama pembangunan Jerman. Penilaian ini berasaskan beberapa soalan penilaian am yang diperoleh daripada Pelan Tindakan itu sendiri. Setiap soalan am telah dipecahkan kepada soalan terperinci mengikut kriteria:
1. Sejauh manakah BMZ memberi contoh yang baik dalam organisasinya sendiri berhubung keterangkuman orang kurang upaya?
Kesesuaian: Sejauh manakah bidang tindakan dan langkah yang dipilih sepadan dengan peruntukan Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) PBB?
Keberkesanan: Sejauh manakah BMZ berjaya mewujudkan struktur dan amalan yang inklusif?
2. Sejauh manakah Pelan Tindakan membantu meningkatkan keterangkuman orang kurang upaya di negara rakan kerjasama pembangunan Jerman?
Kesesuaian: Sejauh manakah bidang tindakan dan langkah yang dipilih sepadan kepada peruntukan CRPD?
Keberkesanan: Sejauh manakah orang kurang upaya dilibatkan secara lebih berkesan dalam tindakan yang diambil oleh rakan kerjasama pembangunan Jerman?
3. Sejauh manakah BMZ bertindak sebagai penyokong dan rakan memperjuangkan hak orang kurang upaya dalam kerjasama pembangunan pada peringkat nasional, serantau dan antarabangsa?
Kesesuaian: Sejauh manakah bidang tindakan dan langkah yang dipilih sepadan dengan peruntukan CRPD PBB?
Keberkesanan: Sejauh manakah BMZ berjaya meyakinkan penglibatan pelaku (actors) dua hala (bilateral) dan ejen pelbagai hala (multilateral) dalam usaha memperjuangkan keterangkuman?
4. Bagaimanakah pembangunan dan pelaksanaan Pelan Tindakan Keterangkuman diuruskan?
Keberkesanan: Mekanisme dan struktur pengurusan manakah (termasuk peranan pelbagai kumpulan pihak berkepentingan dalam proses pengurusan), yang menentukan pembangunan dan pelaksanaan Pelan Tindakan tersebut?
Kecekapan: Sejauh manakah tindakan dilaksanakan seperti yang dirancang?
5. Bagaimanakah manfaat Pelan Tindakan Keterangkuman harus dinilai dari segi keluasan impak dan pengaruhnya sebagai instrumen tadbir urus?
Impak: Sejauh manakah Pelan Tindakan tersebut menghasilkan impak yang luas?
Impak: Sejauh manakah Pelan Tindakan tersebut menghasilkan pengaruh (leverage)?
Sumber: Schwedersky, Ahrens and Steckhan (2017[1]), Evaluation of the BMZ Action Plan for the Inclusion of Persons with Disabilities, https://d-nb.info/1186644206/34
Di manakah kriteria ini dipadankan dalam bidang penilaian yang lebih luas?
Copy link to Di manakah kriteria ini dipadankan dalam bidang penilaian yang lebih luas?Memandangkan setiap intervensi (entiti yang dinilai) adalah berbeza, proses penilaian haruslah fleksibel dan penggunaan kriteria penilaian perlu dibuat secara bernas serta diadaptasikan kepada matlamat dan pengguna penilaian. Maka, matlamat kriteria ini bukanlah untuk menyediakan satu set peraturan wajib.
Kriteria ini tidak wujud secara berasingan. Untuk menggunakan kriteria dengan sebaiknya, adalah penting untuk memahami kedudukannya dalam standard dan norma lain, metodologi serta panduan pada peringkat institusi.
Prinsip utama penilaian terletak pada tahap makro, seperti tidak berat sebelah (impartiality) dan bebas, kredibiliti, berguna dan keterlibatan (OECD, 1991[2]) bersama-sama Quality Standards for Development Evaluation (OECD, 2010[3]). Tahap ini juga merangkumi standard etika berkaitan penyelidikan dan pengumpulan data. Kesemua ini menyediakan standard menyeluruh amalan terbaik yang mana semua penilaian harus dipatuhi sepanjang proses penilaian.
Kriteria penilaian ini boleh ditemui pada tahap meso, yang mana ia menyediakan lensa untuk menganalisis dan memahami intervensi.
Tahap institusi adalah yang mana setiap organisasi mengadaptasikan kriteria penilaian dan menterjemahkan kriteria ini ke dalam panduan dan polisi masing-masing (cthnya mengutamakan kriteria tertentu, mewajibkan penarafan atau menambah kriteria tambahan) mengikut mandat dan keutamaan masing-masing.
Tahap mikro, iaitu dalam konteks setiap penilaian, termasuk keputusan tentang soalan penilaian dan metodologi yang digunakan dalam setiap penilaian, serta bagaimana kriteria diterapkan kepada konteks tersebut dan kepada evaluand spesifik.
Rajah 2.1. Bagaimana kriteria penilaian dipadankan dengan norma dan standard lain
Copy link to Rajah 2.1. Bagaimana kriteria penilaian dipadankan dengan norma dan standard lain
Rujukan
[3] OECD (2010), Quality Standards for Development Evaluation, DAC Guidelines and Reference Series, OECD Publishing, Paris, https://dx.doi.org/10.1787/9789264083905-en.
[2] OECD (1991), Principles for Evaluation of Development Assistance, Development Assistance Committee, OECD Publishing, Paris, https://www.oecd.org/development/evaluation/2755284.pdf (accessed on 11 January 2021).
[1] Schwedersky, T., L. Ahrens and H. Steckhan (2017), Evaluation of the BMZ Action Plan for the Inclusion of Persons with Disabilities, DEval, https://d-nb.info/1186644206/34 (accessed on 11 January 2021).
Nota
Copy link to Nota← 1. Istilah “intervensi” yang digunakan di sini dan dalam dokumen ini bermaksud objek penilaian (apa yang dinilai). Lihat bab 3.2, Adaptasi kriteria kepada matlamat penilaian untuk perbincangan lanjut tentang perkara ini.
← 2. Istilah “evaluand” merujuk kepada objek penilaian, iaitu apa yang dinilai.