Bab ini menerangkan matlamat dokumen ini dan bagaimana dokumen ini boleh menyokong para pembaca dalam memahami definisi kriteria yang telah diadaptasi serta menggunakan kriteria ini dalam kerja mereka. Bab ini juga menerangkan bagaimana panduan ini dibangunkan, termasuk peranan pihak berkepentingan penilaian global dalam memaklumkan reka bentuk dan kandungannya. Seterusnya, bab ini mempertimbangkan bagaimana kriteria perlu diaplikasikan secara bernas untuk menambah baik penyampaian dan reka bentuk penilaian.
Mengaplikasi Kriteria Penilaian Secara Bernas
1. Matlamat dan penggunaan panduan: Kriteria lebih utuh untuk penilaian lebih mantap
Copy link to 1. Matlamat dan penggunaan panduan: Kriteria lebih utuh untuk penilaian lebih mantapAbstrak
Mengapa panduan ini diperlukan
Copy link to Mengapa panduan ini diperlukanJawatankuasa bantuan pembangunan (DAC) OECD mula mengemukakan lima kriteria penilaian pada tahun 1991 (OECD, 1991[1]) dan menyediakan definisi untuk kriteria penilaian ini pada tahun 2002 (OECD, 2002[2]). Lima kriteria ini – kesesuaian, keberkesanan, kecekapan, impak dan kemampanan, telah menjadi titik rujukan bagi para penilai dalam kerjasama pembangunan dan sebagainya.
Didorong hasrat menyahut Agenda 2030 serta peluang memanfaatkan pengalaman dan pembelajaran yang luas sejak kriteria mula didefinisikan, satu proses konsultasi dan adaptasi menyeluruh telah dijalankan pada tahun 2017 hingga 2019, dan definisi kriteria yang telah dikemas kini telah diperakui oleh DAC pada Disember 2019 (OECD, 2019[3])1. Semasa proses konsultasi, pengguna menyatakan bahawa kebanyakan aspek kriteria penilaian adalah bernilai dan ingin terus menggunakan kriteria ini dalam penilaian intervensi pada masa depan. Maklum balas tersebut menunjukkan bahawa kriteria penilaian digunakan secara meluas dan difahami ramai, sekali gus membolehkan konsistensi dan kebolehbandingan2. OECD DAC telah membangunkan satu kerangka normatif yang menggunakan bahasa yang lazim, ringkas serta neutral dan mudah diadaptasi, berfokuskan hasil serta meliputi bidang utama yang perlu untuk akauntabiliti dan pembelajaran dalam sektor penilaian. Justeru itu, kriteria yang telah dikemas kini mencerminkan sokongan untuk meneruskan penggunaan definisi asal dengan menambah baik definisi tersebut.
Panduan ini haruslah digunakan bersama dokumen OECD’s Quality Standards for Development Evaluation (OECD, 2010[4]) dan Principles for Evaluation of Development Assistance (OECD, 1991[1]). Dokumen Principles tertumpu kepada pengurusan dan penyediaan sistem penilaian institusi sementara dokumen Standards adalah berkaitan proses dan produk penilaian. Panduan ini membantu pengguna mengoperasikan definisi kriteria penilaian dengan penerangan terperinci dan menyediakan contoh serta membincangkan kekangan praktikal yang lazim dialami semasa pelaksanaan penilaian. Kotak 1.1 mencatatkan penerbitan masa depan yang akan terus menyokong aplikasi dan pemahaman kriteria penilaian ini.
Dalam tempoh 25 tahun yang lalu, banyak telah dipelajari tentang cara penggunaan kriteria penilaian DAC. Kekangan utama yang telah dikenal pasti semasa konsultasi 2017-19 adalah berkaitan aplikasi praktikal. Perbincangan ini menggariskan kepentingan cara penggunaan kriteria dan bukan semata-semata cara kriteria didefinisikan. Contohnya, kriteria kadangkala digunakan dalam cara mekanistik dan tidak disesuaikan dengan konteks. Oleh itu, panduan ini menyokong pelbagai kumpulan pengguna dalam mengaplikasi kriteria secara bernas, lantas menyumbang kepada penilaian yang lebih berkualiti dan berguna.
Dokumen ini meliputi aspek bahasa dan panduan untuk membantu pengguna memahami dan mengaplikasi definisi kriteria penilaian, termasuk dua prinsip terperinci dalam membimbing penggunaan kriteria (OECD, 2019[3]). Panduan ini memperluas kedua-dua prinsip tersebut dan menerangkan setiap definisi kriteria, justeru membolehkan pengguna mentafsir dan mengaplikasi kriteria ini dalam bidang kerja masing-masing.
Matlamat dan cara penggunaan panduan ini
Copy link to Matlamat dan cara penggunaan panduan iniDokumen ini menyediakan panduan ringkas kepada pengguna tentang cara mentafsir kriteria dan mengaplikasinya secara bernas dalam bidang kerja masing-masing. Walaupun kriteria ini lazimnya diaplikasikan dalam penilaian, ia boleh juga diaplikasikan dalam pemantauan dan pengurusan berasaskan hasil (results-based management), dalam reka bentuk sesuatu intervensi atau dalam perancangan strategik. Panduan ini bertujuan membantu pengguna memikirkan kekangan yang mungkin dihadapi dan di mana mencari penyelesaiannya. Ia membantu pengguna memahami bagaimana menganalisis definisi kriteria penilaian serta perkaitan antara enam kriteria tersebut, kekangan mengaplikasi kriteria dan bagaimana mengatasi kekangan ini. Contoh praktikal telah dipilih untuk menggambarkan bagaimana kriteria ini boleh diaplikasikan secara bernas dalam konteks dunia sebenar.
Panduan ini tidak harus digunakan sebagai buku panduan penilaian (evaluation manual), templat atau senarai semak. Panduan ini merupakan satu sumber yang boleh digunakan dalam pembangunan rancangan penilaian dan mungkin boleh melengkapi polisi spesifik-institusi, standard dan panduan yang menjadi rujukan para penilai.
Panduan ini tidak menggantikan panduan etika dan standard sedia ada yang dikeluarkan oleh institusi lain atau yang dicadangkan oleh OECD DAC (OECD, 1991[1]; OECD, 2010[4]). Panduan ini melengkapi standard antarabangsa yang digunakan oleh PBB dan agensi pelbagai hala (multilateral) yang lain seperti norma dan standard United Nations Evaluation Group (UNEG), standard amalan terbaik Evaluation Co-operation Group (ECG) dan panduan Active Learning Network for Accountability and Performance in Humanitarian Action (ALNAP). Sumber lain yang berguna termasuk laman web agensi dua hala, agensi PBB dan unit penilaian agensi pelbagai hala yang lain, laman web Better Evaluation, EvalPartners dan agensi berkaitannya, yang bertumpu kepada bidang spesifik seperti International Initiative for Impact Evaluation (3ie).
Kotak 1.1. Kerja selanjutnya dan dokumen penilaian OECD yang akan datang
Copy link to Kotak 1.1. Kerja selanjutnya dan dokumen penilaian OECD yang akan datangSelain menyemak panduan ini berdasarkan pengalaman penggunaan definisi baharu, EvalNet dan rakan-rakannya juga sedang membangunkan panduan spesifik yang akan mendalami topik tertentu, termasuk panduan menggunakan kriteria dengan lensa kesaksamaan gender dan aplikasi kriteria ini dalam konteks bantuan kemanusiaan. ALNAP dan EvalNet juga sedang dalam proses mengemas kini panduan penilaian bantuan kemanusiaan dan penggunaan kriteria penilaiannya (Beck, 2016[5]).
Terjemahan definisi dan prinsip kriteria
Dengan kerjasama rakan utama dan selaras dengan mandat menyokong pembelajaran serta pembinaan kapasiti dalam sektor penilaian, OECD sedang dalam proses menterjemah definisi kriteria penilaian ini ke dalam pelbagai bahasa selain bahasa rasmi OECD iaitu Bahasa Inggeris dan Perancis. Terjemahan ke dalam bahasa Sepanyol dan Mandarin telah diselesaikan manakala versi baru dalam bahasa Arab, Dari, Pashto, Portugis, Russia, Thai, dan Urdu dijangka diselesaikan pada tahun 2021.
Daftar Istilah Penilaian dan Results Based Management Edisi ke-2
Definisi lima kriteria asal telah diterbitkan dalam OECD’s Glossary of Key Terms in Evaluation and Results Based Management (OECD, 2002[2]). Edisi ke-2 daftar istilah ini kini sedang dibangunkan dan mengandungi kriteria yang telah dikemas kini dan istilah lain. Edisi ke-2 ini merupakan dokumen sokongan kepada panduan ini kerana ia menyediakan definisi padu bagi perkataan yang diguna pakai dalam teks tersebut, termasuk hasil, keberhasilan, impak, theory of change dan penerima manfaat.
Pada masa yang sama, panduan ini dan kriteria penilaian bertujuan mendorong refleksi kendiri serta pemikiran kritis, dan tidak harus digunakan secara mekanistik. Penggunaan secara mekanistik adalah tidak sejajar dengan amalan terbaik dan prinsip Agenda 2030 (seperti yang diterangkan dalam Bab 3). Memandangkan panduan ini bukanlah suatu metodologi, maka ia tidak menetapkan metodologi atau alat spesifik. Sebagai titik permulaan, beberapa penunjuk kepada sumber lain yang menghuraikan kaedah telah disertakan dalam dokumen ini.
Panduan ini harus dilihat sebagai jambatan antara dokumen formal menyeluruh seperti definisi kriteria (OECD, 2019[3]) dan OECD Quality Standards (OECD, 2010[4]) yang menyediakan definisi konsisten dan jelas serta terminologi, dan aplikasi harian kriteria tersebut dalam institusi tertentu secara bernas dan bersesuaian, memandangkan keputusan yang menjurus kepada konteks yang spesifik adalah penting.
Selain menyediakan contoh cara kriteria telah diaplikasikan dalam penilaian sebenar, panduan ini juga meliputi elemen analisis yang menerangkan konsep yang terkandung dalam setiap definisi. Elemen ini bukanlah muktamad atau digunakan sebagai konsep berbeza atau sebagai subkriteria, tetapi hanya sebagai gambaran dalam membantu analisis setiap definisi. Contoh yang disediakan membantu pengguna mencari tafsiran kontekstual terbaik untuk setiap kriteria bagi sesuatu penilaian. Semasa fasa reka bentuk, dialog antara para penilai, komisioner dan pengguna dapatan penilaian boleh menyelami bagaimana elemen berbeza setiap kriteria patut dinilai dan kriteria yang mana paling penting untuk membuat kesimpulan menyeluruh memandangkan kesemua ini adalah berbeza bergantung kepada intervensi, konteks dan pengguna sesuatu penilaian.
Bab 2 memperkenalkan peranan kriteria penilaian dan bagaimana kriteria tersebut sesuai dalam norma dan standard yang lebih luas. Bab 3 menyediakan panduan cara mentafsir kriteria serta mengaplikasikannya dengan bernas, serta akan membantu para penilai menggunakan kriteria ini dalam konteks polisi masing-masing. Dalam Bab 4, setiap definisi kriteria dihuraikan secara terperinci, kekangan lazim ditonjolkan dan contoh praktikal diberi. Mengambil kira polisi keutamaan Agenda 2030 “tiada sesiapa yang ketinggalan” (leave no one behind), Bab 4 merangkumi rumusan isu utama berkaitan keterangkuman untuk dipertimbangkan bagi setiap kriteria.
Memandangkan kebanyakan contoh diambil daripada penilaian berdasarkan definisi asal, manakala definisi baharu dan prinsip baru kini diperkenalkan, maka panduan ini dianggap sebagai draf yang masih diperhalusi. Panduan ini akan digunakan semasa fasa percubaan bagi pelaksanaan awal dan akan dikemas kini setelah beberapa tahun supaya pembelajaran tambahan serta contoh terkini dapat diperoleh. Sekretariat OECD sangat berminat untuk mengumpul lebih banyak contoh di luar keahlian EvalNet serta iktibar (lessons) penggunaan kriteria ini dalam penilaian tempatan dan nasional.
Siapa boleh menggunakan panduan ini?
Copy link to Siapa boleh menggunakan panduan ini?Panduan ini boleh diguna pakai dalam pelbagai konteks – tempatan, nasional dan antarabangsa (global). Kriteria ini adalah luas dan telah direkabentuk supaya sesuai digunakan dalam pelbagai intervensi dan sektor. Kriteria ini adalah relevan melangkaui intervensi lazim bantuan pembangunan rasmi (ODA). Jika diaplikasikan secara bernas, kriteria ini juga berguna untuk intervensi di sektor swasta, pembiayaan gabungan (blended finance) atau bidang polisi serupa seperti perdagagan.
Panduan ini ditujukan khas untuk para penilai, pengurus penilaian dan komisioner. Ianya sesuai untuk pelajar atau profesional muda yang menggunakan kriteria penilaian untuk pertama kalinya serta pengamal berpengalaman yang melaksanakan penilaian kompleks. Ianya juga sesuai digunakan untuk memacu rekabentuk intervensi, perancangan strategik dan pengurusan hasil. Penilaian yang lebih baik bergantung kepada keberkesanan integrasi pemantauan, penilaian dan sistem pembelajaran dalam suatu program atau kitaran polisi. Panduan ini berguna dalam membantu para penilai dan rakan pelaksana membangunkan visi bersama serta istilah kejayaan pada permulaan program (semasa fasa rekabentuk suatu intervensi), justeru itu menjadikan intervensi lebih mudah dinilai dan pada masa yang sama meningkatkan hasil keseluruhan.
Rujukan
[5] Beck, T. (2016), Evaluating Humanitarian Action using the OECD-DAC Criteria, ALNAP, https://www.alnap.org/help-library/evaluating-humanitarian-action-using-the-oecd-dac-criteria (accessed on 11 January 2021).
[3] OECD (2019), Better Criteria for Better Evaluation: Revised Evaluation Criteria Definitions and Principles for Use, DAC Network on Development Evaluation, OECD Publishing, Paris, https://www.oecd.org/dac/evaluation/revised-evaluation-criteria-dec-2019.pdf (accessed on 11 January 2021).
[4] OECD (2010), Quality Standards for Development Evaluation, DAC Guidelines and Reference Series, OECD Publishing, Paris, https://dx.doi.org/10.1787/9789264083905-en.
[2] OECD (2002), Evaluation and Aid Effectiveness No. 6 - Glossary of Key Terms in Evaluation and Results Based Management (in English, French and Spanish), OECD Publishing, Paris, https://dx.doi.org/10.1787/9789264034921-en-fr.
[1] OECD (1991), Principles for Evaluation of Development Assistance, Development Assistance Committee, OECD Publishing, Paris, https://www.oecd.org/development/evaluation/2755284.pdf (accessed on 11 January 2021).