Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah menetapkan definisi umum untuk enam kriteria penilaian, iaitu kesesuaian, kesepaduan, keberkesanan, kecekapan, impak dan kemampanan, bagi menyokong penilaian yang berkualiti tinggi dan konsisten. Kriteria ini menyediakan kerangka normatif yang digunakan untuk menentukan merit atau nilai sesuatu intervensi (polisi, strategi, program, projek atau aktiviti). Kriteria ini menjadi asas kepada pentafsiran penilaian (evaluative judgements).
Kriteria ini boleh dilihat sebagai satu set lensa yang menyediakan perspektif yang saling melengkapi untuk memberi gambaran menyeluruh tentang sesuatu intervensi dan hasilnya. Kriteria ini mendorong para penilai dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam reka bentuk atau pengurusan intervensi untuk berfikir secara mendalam tentang ciri-ciri sesuatu intervensi, proses pelaksanaannya serta hasilnya..
Dua prinsip yang digunakan oleh OECD DAC Network on Development Evaluation untuk memacu definisi enam kriteria penilaian ini termasuke:
1. Prinsip satu: Kriteria ini haruslah diaplikasikan secara bernas untuk menyokong penilaian berkualiti tinggi dan berguna.
2. Prinsip dua: Penggunaan kriteria ini bergantung kepada tujuan penilaian tersebut.
Kriteria ini haruslah diaplikasikan secara bernas dan disesuaikan kepada konteks intervensi dan penilaian tersebut. Walaupun pada mulanya kriteria ini dibangunkan untuk kegunaan kerjasama pembangunan antarabangsa, namun kriteria ini boleh diaplikasikan dalam apa jua sektor dan bagi penilaian intervensi awam atau swasta. Kriteria ini boleh digunakan untuk menilai pelbagai topik berlainan dan pelbagai jenis intervensi, termasuk topik tematik atau isu strategik, polisi dan projek. Memandangkan kriteria ini hanya membentuk sebahagian norma dan standard penilaian, metodologi berlainan boleh digunakan apabila melaksanakan penilaian dengan menggunakan kriteria ini.
Para penilai harus menggunakan kriteria ini secara bernas dengan mengambil kira pengalaman berlainan, dan memikirkan bagaimana dinamik kuasa (power dynamics) berdasarkan gender dan bentuk diskriminasi lain (cth umur, bangsa, status sosial, keupayaan) memberi kesan kepada pelaksanaan dan hasil intervensi.
Konsep utama untuk setiap kriteria adalah didefinisikan seperti berikut:
Kesesuaian merangkumi penelitian sejauh mana objektif dan reka bentuk intervensi memenuhi keperluan dan keutamaan penerima manfaat serta sejajar dengan polisi dan keutamaan rakan/institusi nasional dan global. Memahami dinamik kuasa (power dinamics) gender dan komitmen “tiada sesiapa yang ketinggalan” (leave no one behind) adalah penting untuk memahami konsep kesesuaian. Jika berlaku perubahan keadaan, penilaian harus melihat sama ada intervensi tersebut masih kekal relevan.
Kesepaduan, iaitu kriteria baharu, meneliti sejauh mana intervensi lain, khususnya polisi, menyokong atau menghalang intervensi tersebut, dan sebaliknya. Ini termasuk kesepaduan dalaman (dalam sesebuah organisasi atau kerajaan), yang merangkumi keserasian dengan norma dan piawaian antarabangsa, serta kesepaduan luaran, iaitu dengan pelaksana intervensi lain dalam konteks yang sama. Kesepaduan merangkumi konsep saling melengkapi, keharmonian dan penyelarasan serta sejauh mana intervensi tersebut menambah nilai tanpa pertindihan usaha. Selaras dengan Agenda 2030, perhatian harus diberikan kepada kesepaduan, dengan fokus kepada sinergi, atau tukar-ganti (trade-offs) antara bidang polisi. Kriteria baharu ini mendorong pendekatan bersepadu dalam memahami intervensi kompleks dan hasilnya.
Keberkesanan meneliti sejauh mana intervensi telah dicapai, atau dijangka mencapai, objektif dan hasilnya, sambil mengambil kira kepentingan objektif tersebut. Definisi baharu ini mendorong analisis terhadap hasil yang berbeza merentas kumpulan, serta sejauh mana intervensi tersebut menyumbang kepada atau memburukkan lagi jurang kesaksamaan. Keberkesanan merupakan kriteria yang paling kerap dinilai dan lazimnya digunakan sebagai ukuran pencapaian menyeluruh.
Kecekapan membantu para penilai menyoal sejauh mana intervensi menyampaikan, atau dijangka menyampaikan, hasil secara ekonomik dan tepat pada masanya. Ekonomik merangkumi pertukaran input (dana, kepakaran, sumber asli, masa, dsb.) kepada hasil dalam cara yang paling kos efektif berbanding alternatif yang mungkin dalam konteks tersebut. Definisi baharu ini termasuk “penyampaian yang menepati masa”. Kriteria ini memberi peluang untuk menilai sama ada sumber sesuatu intervensi boleh dijustifikasikan oleh hasilnya, suatu perkara yang amat penting dari segi praktikal dan politik. Kebanyakan pihak berkepentingan termasuk penerima manfaat mementingkan kecekapan kerana ia dapat menyokong kecekapan penggunaan sumber terhad untuk mencapai lebih banyak hasil.
Impak merujuk kepada sejauh mana intervensi telah menghasilkan, atau dijangka menghasilkan, kesan signifikan pada tahap tinggi yang positif atau negatif, dirancang atau tidak dirancang. Impak melihat signifikan utama sesuatu intervensi serta potensi untuk memberi kesan transformatif, iaitu perubahan holistik dan berkekalan dalam sistem atau norma. Kriteria impak melangkaui kriteria keberkesanan dan mendorong persoalan “apa kepentingannya?”, Di sinilah para penilai meneliti sama ada intervensi tersebut telah menjana perubahan bermakna untuk masyarakat.
Kemampanan merujuk kepada sejauh mana manfaat intervensi berterusan atau berkemungkinan akan berterusan. Bergantung kepada masa penilaian dilaksanakan, ini mungkin melibatkan analisis terhadap aliran manfaat bersih (net benefits) atau unjuran kemungkinan manfaat akan berterusan dalam jangka masa sederhana dan panjang. Walaupun konsep asas tentang manfaat berterusan tidak berubah, definisi baharu ini merangkumi beberapa elemen untuk dianalisis, iaitu kewangan, ekonomik, sosial, alam sekitar serta perhatian khusus kepada interaksi antara elemen-elemen ini.
Pelbagai kekangan mungkin dihadapi apabila setiap kriteria diterapkan, termasuk isu biasa berkaitan kelemahan reka bentuk intervensi dan ketersediaan data. Cadangan praktikal disediakan untuk para penilai dan pengurus penilaian dapat mengatasi kekangan ini, termasuk menilai kebolehnilaian pada permulaan proses penilaian, berkolaborasi dengan pihak berkepentingan untuk mendokumentasikan keputusan yang telah dibuat atau membuat semula garis dasar (baseline) serta bersikap telus tentang sebarang keterbatasan supaya dapat mengurus jangkaan. Jadual di bawah dan panduan ini akan dikemas kini apabila iktibar lanjut (lessons) daripada pengalaman dikumpulkan.