Penilaian memainkan peranan penting dalam memberi pencerahan kepada reka bentuk dan penyampaian polisi dan program yang membawa kepada hasil pembangunan yang lebih baik, adil serta mampan. Bukti daripada penilaian, serta pemikiran kritis penilaian boleh menyokong serta memainkan peranan penting dalam membantu pembuat keputusan dan komuniti memastikan polisi dan program menghasilkan keputusan yang positif dan berkekalan kepada manusia dan planet ini.
Untuk menyokong amalan penilaian, Jawatankuasa Bantuan Pembangunan (DAC) Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah menerbitkan definisi lima kriteria penilaian pada tahun 1991. Kriteria ini telah membentuk reka bentuk dan perkembangan penilaian pembangunan antarabangsa sej 30 tahun yang lalu. Kriteria ini memainkan peranan utama dalam menambah baik kualiti amalan penilaian global serta menyokong kerjasama global. Kriteria ini juga membolehkan organisasi mereka bentuk dan menyampaikan penilaian yang relevan mengikut keperluan pembuat keputusan, di samping merakam pelbagai hasil yang dirancang dan tidak dirancang, lalu menghasilkan bukti serta cerapan yang bernilai.
Panduan ini melengkapi definisi kriteria dan prinsip penggunaannya. Matlamatnya adalah untuk menyokong penggunaan kriteria secara bernas dan mengikut konteks. Melalui penyertaan soalan dan contoh, panduan ini menggalakkan refleksi kritis dan analisis terperinci. Panduan ini akan membantu pembaca mempertimbangkan cara mentafsir dan menggunakan kriteria tersebut bagi menambah baik kualiti penilaian mereka dan meningkatkan sokongan pembelajaran serta akauntabiliti.
Lima kriteria ini kemudiannya disesuaikan lagi pada tahun 2018-19. Proses semakan berpandukan hampir tiga dekad pembelajaran ahli DAC Network on Development Evaluation (EvalNet) dan komuniti penilaian global. Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan termasuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Perjanjian Paris dalam Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) juga digunakan untuk memacu proses semakan ini. Satu set definisi baharu yang merangkumi dua prinsip yang membimbing penggunaannya diterbitkan pada Disember 2019.
Pembelajaran tentang cara terbaik untuk menggunakan kriteria yang telah disesuaikan ini, dalam kerjasama pembangunan antarabangsa dan selanjutnya, baru sahaja bermula. Hasratnya adalah untuk terus mengumpul iktibar (lessons) dan pencerahan (insights) daripada penggunaannya, serta meninjau semula panduan ini berdasarkan pengalaman kolektif dan maklum balas daripada komuniti penilaian global. Iktibar yang amat bernilai, termasuklah yang terhasil daripada cara baharu menggunakan kriteria ini, lebih mencerminkan prinsip Agenda 2030, seperti penilaian yang bersifat penyertaan atau menggunakan pendekatan berasaskan hak asasi manusia, penilaian terhadap proses perubahan yang kompleks dan penilaian yang merakam sinergi serta tukar-ganti secara holistik.